Anuar Zain akui pernah jatuh cinta

Anuar Zain akui pernah jatuh cinta

LEBIH senang menyerahkan soal jodoh kepada takdir dan yakin jodoh pasti ada untuknya.

PADA usia 44 tahun, masih sendiri, jangan sesekali dituding mengatakan dia tidak pernah merasai indahnya perasaan menyayangi kaum Hawa. Dalam usia yang semakin meningkat, dia adalah lelaki yang sama seperti lelaki normal lain, pernah melalui episod jatuh cinta, menyukai beberapa wanita yang dilihat istimewa di matanya.


Pun, sehingga kini, dia seperti tidak lagi bertemu titik penghujung apabila sesi jatuh cinta yang terjadi tidak berpanjangan kepada episod seterusnya.

Anuar berterus terang bahawa sudah puas dia mencari cinta, tetapi di penghujungnya, hanya kekecewaan yang membelenggu dirinya disebabkan pencarian itu tidak berjaya.

Katanya, selama ini dia pernah berkawan dengan beberapa wanita.

Namun perhubungan tersebut akhirnya kecundang sebelum sempat mereka beralih ke satu tahap yang lebih serius.

"Jadi, sekarang saya hanya berserah dengan ketentuan takdir. Sesiapa sahaja yang diketemukan selepas ini dan tertulis bahawa wanita itu jodoh saya, maka saya terima dengan hati yang terbuka. Doakanlah kebahagian saya dengan sesiapa sahaja yang bakal menjadi pilihan hati nanti.

"Cuma kalau mengikut kemahuan diri, saya lebih gemar berkawan terlebih dahulu dengan bakal pasangan sehidup semati saya. Tidak mahu satu perhubungan yang terburu-buru," katanya ringkas tanpa mahu lagi berbicara mengenai hal jodoh.

Menurut Anuar, dia juga tidak menolak jika jodohnya diaturkan oleh ahli keluarga.

Namun sehingga hari ini, keluarga tidak pernah memaksa dan begitu memahami keadaan dirinya.

Beruntung sekali mempunyai kaum keluarga yang begitu mengerti dan memahami bahawa jodoh dan pertemuan hanya boleh diatur manusia, tetapi ditentukan rezekinya oleh Yang Maha Esa.

"Mereka menyerahkan hal tersebut sepenuhnya kepada saya untuk memutuskannya. Mereka tidak begitu mendesak dan sentiasa menyokong saya. Sebab itu saya tidak ada sebarang masalah kerana keluarga amat memahami keadaan diri saya," tambahnya.

Dalam nada mengharap, Anuar berdoa agar misi pencarian suri di hatinya menemui jalan kejayaan kerana mengakui dia perlukan seorang teman yang mampu berkongsi sebarang perasaan suka dan duka di hari tuanya kelak.

"Saya tidak berputus asa tetapi lebih gemar dengan pendekatan tunggu dan lihat. Sama-samalah mendoakan agar jodoh saya dipercepatkan," pintanya.

Demi peminat


Nama Anuar selaku penyanyi tidak perlu lagi diperkenalkan di persada seni muzik tempatan lantaran keaktifan dirinya yang mula menyanyi sejak zaman kanak-kanak lagi.

Menjengah usia dewasa, keeksklusifan kariernya dijaga rapi sehingga menjadikan beliau antara penyanyi yang menerima bayaran termahal.

Sinonim dengan Minggu Setiausaha, Anuar merupakan antara penyanyi yang tidak pernah terlepas peluang untuk memeriahkan sambutan minggu tersebut walaupun sudah 30 tahun bergelar penghibur.

Justeru, pada tahun ini, buat julung kalinya, Anuar membuat keputusan untuk menganjurkan sendiri persembahan Minggu Setiausaha menerusi syarikatnya, Anuar Zain Network dengan menggunakan judul Terindah... Anuar Zain!

Dengan alasan mahukan kepuasan dan keterujaan yang maksimum, Anuar membuat keputusan tersebut agar pihaknya boleh mengawal semua aspek penganjuran, sekali gus memberi kebahagiaan kepada bakal audiens yang membeli tiket persembahannya.

"Penganjuran berkenaan bakal menjadi memori terindah buat peminat-peminat saya. Peminat adalah bisnes untuk saya. Mereka juga banyak memberi sokongan kepada saya dalam membina karier dan kerana mereka saya berada sehingga ke tahap ini.

"Dengan penganjuran Minggu Setiausaha di bawah syarikat sendiri, saya yakin dapat memberi persembahan terbaik demi kepuasan peminat setimpal dengan sokongan yang mereka berikan selama ini," katanya dalam sidang akhbar di Restoran Bijan, di ibu kota baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Anuar menjelaskan bahawa dia tidak menjayakan mana-mana persembahan sempena Minggu Setiausaha yang dianjurkan pihak lain.

"Hanya Terindah... Anuar Zain sahaja satu-satunya persembahan sempena minggu tersebut. Disebabkan ini merupakan persembahan pertama yang dianjurkan syarikat saya sendiri, jadi saya mahu memberi sepenuh perhatian terhadap penganjurannya.

"Memang ada tawaran daripada penganjur lain, tetapi saya tolak baik-baik untuk acara ini," ceritanya.


Harga tiket


Jika harga tiket konsert Tiga Dekad, Muzik, Cinta dan Sanubari yang mencecah RM698 berjaya menarik kehadiran hampir 6,000 penonton, kali ini sempena Minggu Setiausaha, harga tiket persembahan Anuar meningkat hampir sekali ganda iaitu RM1,380.

Jejaka yang berasal dari Merlimau, Melaka itu berkata, harga itu berpatutan memandangkan peminat bukan sahaja dapat menyaksikan persembahannya.

 Malah mereka juga akan disajikan dengan makanan dan hadiah di samping janjinya untuk memberi sebuah persembahan berkualiti.

"Harga itu berpatutan kerana ia merangkumi makanan di sebuah hotel ternama, door gift, kualiti persembahan dan memberi peluang kepada para peminat untuk mendekati diri saya di belakang pentas selepas mengadakan persembahan kelak.

"Kita juga menjanjikan susunan muzik yang lebih segar dan mantap bersesuaian dengan tema majlis iaitu Terindah. Ia hadiah ikhlas dari saya kepada peminat yang hadir nanti," katanya.

Dalam pada itu Anuar begitu yakin, bersandarkan kepada kekuatannya dalam industri muzik tempatan, dia mampu merealisasikan momen Terindah buat para hadirin yang memenuhi dewan makan di Hotel One World, Petaling Jaya pada 8 April nanti.

Menambah mengenai harga tiket, sebenarnya ia bermula dari harga serendah RM480 dan boleh diperoleh melalui www.ticketcharge.com.my dan terdapat 120 meja disediakan pada hari tersebut.

Duit den botingkek-tingkek, mungkin itulah yang cuba diberitahu oleh penyanyi Nubhan. Bukan Nubhan sahaja yang teruja kalau temui wang kertas lama, si pengumpul mata wang pun begitu juga. Lepas ni bolehlah Nubhan belanja peminat.