Antara Artis komedi berkumpulan popular tempatan pilihan anda

Antara Artis komedi berkumpulan popular tempatan pilihan anda

Antara Artis komedi berkumpulan popular tempatan pilihan anda

Pertengahan tahun 90an menyaksikan kemunculan kumpulan pelawak popular Senario yang dianggotai oleh Wahid, Lan Pet Pet, Azlee Jaafar, Saiful Apek dan Yassin Yahya di dalam arena hiburan tempatan.

Menjadi fenomena di seluruh Malaysia, Singapura dan juga Brunei, populariti kumpulan pelawak ini tidak dapat disangkal lagi dan industri seni tempatan mula menyaksikan kehadiran kumpulan-kumpulan baru seperti Cecupak dan ramai lagi.

Bermula beberapa tahun yang lalu, dengan kehadiran program realiti mencari pelapis pelawak baru, lahirlah kumpulan mahupun artis komedi berkumpulan yang boleh dikatakan berkualiti dan mendapat perhatian masyarakat tempatan.

Jom kita saksikan di antara artis komedi berkumpulan popular tempatan yang dipelopori oleh bintang-bintang rancangan Raja Lawak, Maharaja Lawak dan Bintang Mencari Bintang.

Jozan 



Gabungan di antara Johan atau nama sebenarnya Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz dan Razizan Abdul Razak atau lebih dikenali dengan Zizan Razak ini sememangnya berjaya kerana keserasian mereka ketika menjayakan sesuatu persembahan di pentas mahupun di kaca televisyen.

Lahir dari program Raja Lawak musim pertama, mereka berdua mula dikenali ramai semenjak mengacarakan rancangan yang sama pada musim kedua sehingga musim ketujuh. 'Chemistry' yang wujud membuatkan kedua mereka dilihat begitu santai dan spontan sekali dalam melawak mahupun mengacarakan sesuatu program.

Selain berbakat dalam bidang pengacaraan dan lakonan, kedua-dua mereka turut berbakat dalam bidang nyanyian, bermain alat muzik dan juga petah ketika mengendalikan segmen radio. Kejayaan terbesar kumpulan Jozan apabila mereka berjaya menduduki tangga pertama di Maharaja Lawak Mega 2012.

Sepahtu 



Sebelum Jep dan Shuib bertindak menubuhkan kumpulan Sepahtu, mereka berdua pernah menganggotai kumpulan Sepah bersama Mamat. Kejayaan demi kejayaan berjaya menjulang nama kumpulan ini apabila menjuarai Raja Lawak musim ketiga dan Maharaja Lawak 2011.

Namun, menghadapi masalah dalaman dalam kumpulan terbabit mereka berdua telah bertindak keluar dan menubuhkan kumpulan baru. Kini, kumpulan Sepahtu dianggotai oleh Jep, Shuib dan turut menjemput Rahim R2 untuk menyertai mereka ketika beraksi di Maharaja Lawak Mega 2013.

Walaupun sukar mendapat rentak di awal permulaan pertandingan, namun perkara itu tidak menghalang Sepahtu daripada menjuarai pertandingan terbabit.

Jambu



Kumpulan Jambu dianggotai oleh Yus (Yussry Edoo) dan Tauke (Zamatul Amri bin Zakaria) dan masing-masing merupakan peserta rancangan Raja Lawak musim pertama. Yus berjaya memegang takhta juara ketika itu manakala Tauke hanya menduduki tangga keempat.

Sebelum menyertai rancangan Raja Lawak, kedua-dua mereka pernah menyertai rancangan Sinaran Pasport Kegemilangan di TV3 pada tahun 2011 namun nasib kurang menyebelahi mereka ketika itu.

Jambu yang terkenal dengan jenaka mereka yang sedikit berlainan dan tidak disangka-sangka itu mendapat tempat di hati penonton dan juri walaupun hanya berjaya menduduki tempat keempat di Maharaja Lawak Mega 2013 yang lalu.

Shiro


Juara Raja Lawak musim keenam ini dianggotai oleh Shahrol (Shahrol Azizie Azmi) dan Ajak (Hanaffi Razak). Walaupun pada permulaan karier seni mereka kelihatan agak suram, namun populariti mula meningkat semenjak menyertai Maharaja Lawak dan Maharaja Lawak Mega dengan menampilkan idea-idea baru dalam persembahan komedi mereka.

Selepas itu, dua sahabat baik ini membintangi filem "Uztaz, Mu Tunggu Aku Datang" bergandingan bersama penceramah popular Uztaz Azhar Idrus. Kini, mereka tampil dengan filem baru berjudul "Suatu Malam Kubur Berasap 2" yang telah ditayangkan di pawagam baru-baru ini.

Bocey



Gabungan kumpulan Bochik yang terdiri daripada Abam dan Fard serta Achey yang lahir dari rancangan Bintang Mencari Bintang ini pada mulanya hanya dipandang sebelah mata di awal kemunculan mereka di Maharaja Lawak Mega 2013.

Dilabelkan sebagai kumpulan 'underdog' oleh sesetengah pihak tidak mematahkan semangat mereka dalam menampilkan lawak jenaka yang 'fresh' dan boleh dilihat mereka banyak membuat 'homework' sebelum muncul di pentas.

Siapa sangka mereka mampu membuat kejutan apabila berjaya memenangi tempat ketiga di pertandingan berkenaan. Kumpulan Bochey bakal membuat kemunculan sebagai teraju utama di dalam filem "Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa" yang akan menemui penonton pada 14 Ogos di pawagam nanti!