Irma Hasmie hamil anak kedua

Irma Hasmie hamil anak kedua

Bukan main berseri wajah pengacara dan pelakon cantik, Irma Hasmie, ketika hadir ke majlis pengumuman finalis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013 yang berlangsung di The Royale Chulan Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Biarpun rezeki untuk bergelar calon top 5 tidak berpihak kepadanya kali ini, namun Irma yang muncul pada acara berkenaan bagi memperagakan koleksi tudung D’Haja, iaitu antara penaja utama ABPBH edisi ke-27, tumpuan tetap diberikan wanita yang mengacarakan program Assalamualaikum di TV AlHijrah terbabit.

Petang itu, ramai teman seperjuangan dan wakil media yang menghampiri serta memuji seri pada wajahnya. Maklum saja, sebagai selebriti, tentunya ramai yang ingin mengetahui rahsia di sebalik kejelitaannya itu.

Tanpa berselindung, Irma memberitahu, mungkin semuanya berpunca daripada dirinya yang kini hamil anak kedua. Ketika ini, kandungannya itu sudah pun mencecah usia empat bulan.



Irma turut memberitahu, berbanding pengalaman ketika mengandungkan anak pertama, Redza Shah Irfhan, yang kini berusia sembilan bulan, kali ini dirinya tidak mengalami alahan yang teruk.

Selebriti ini berkahwin dengan Redza Shah Azmeer pada Jun 2012.

Selain Irma, seorang lagi artis yang muncul pada acara berkenaan dalam keadaan berbadan dua ialah calon Artis Komedi Wanita Popular, Didie Alias, yang setia ditemani suami, Norisham Ismail.