ND Lala ingin selesai kemelut Shila Amzah dengan pihak media

ND Lala ingin selesai kemelut Shila Amzah dengan pihak media
ND Lala ingin selesai kemelut dengan pihak media

Bapa kepada penyanyi popular Shila Amzah iaitu ND Lala memaklumkan bakal menyelesaikan kemelut terbaru yang melanda pihaknya dan media tempatan berhubung jemputan konsert sulung Shila yang telah diadakan baru-baru ini.

Konflik tersebut tercetus apabila Shila menerusi laman Instagramnya menyelar tindakan pihak media tempatan terutamanya media berbahasa Melayu yang lebih gemar memaparkan isu peribadinya berbanding kejayaan konsertnya yang diadakan pada 13 September lalu.

ND Lala atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh, 52, menjelaskan pihak mereka akan mencari masa yang sesuai bagi menjawab segala pertanyaan termasuk isu penajaan konsert anak sulungnya itu yang didakwa ditaja oleh syarikat perjudian terkenal.

"Saya tengah cari tarikh terdekat untuk balik ke Malaysia dan memenuhi permintaan rakan media untuk mendapat maklum balas kami.

"Waktu ini tidak sesuai. Kami tengah fokus dengan rakaman album Mandarin Shila di Beijing," ujarnya seperti yang dipetik dari akhbar Harian Metro.

Konsert Shila Amzah 'Love Live In Malaysia' yang telah berlangsung di Mega Star Arena, Kuchai Lama itu khabarnya tidak mendapat liputan meluas pihak media berbahasa Melayu kerana ada yang tidak menerima jemputan seperti yang didakwa oleh sesetengah wartawan.

Namun, isu ini bertambah keruh apabila kelab peminat Shila memainkan isu perkauman dengan membuat perbandingan di antara media berbahasa Cina dan Melayu.