Penghormatan buat pengasas jenama Chloé Gaby Aghion yang telah meninggal dunia pada usia 93 tahun

Penghormatan buat pengasas jenama Chloé Gaby Aghion yang telah meninggal dunia pada usia 93 tahun

Penghormatan buat pengasas jenama Chloé

Jenama terkenal Chloé telah mendedikasikan pertunjukan fesyen musim bunga/panas 2015 yang berlangsung baru-baru ini kepada pengasas jenama berkenaan, Gaby Aghion yang telah meninggal dunia pada usia 93 tahun.

Dipetik daripada laporan Vogue, legasi Aghion turut diraikan oleh mereka yang terkenal dalam industri fesyen antarabangsa.

"Ia sangat menyedihkan dia sudah meninggal dunia dan saya turut bersimpati kepada keluarga serta orang tersayang. Namun dia mempunyai kehidupan dan kerjaya yang sangat menakjubkan, malah telah menghasilkan salah satu jenama yang terkenal dalam dunia fesyen.

"Saya masih ingat ketika pertama kali bertemunya, saya berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga yang berjaya ini," ujar Stella McCartney yang merupakan bekas pereka fesyen Chloé.

Bekas pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Chloé pada tahun 1999 hingga 2010, Ralph Toledano pula memuji sikap Aghion yang sangat pemurah.

"Dia mempunyai permintaan yang tinggi, tetapi sangat pemurah dalam segala yang dilakukannya. Jika ada pertunjukan yang dia tidak suka, saya pasti akan bercakap dengannya.

"Dia mempunyai kesungguhan yang mendalam untuk jenama ini. Walaupun di usia 85 tahun, dia masih pengkritik terbaik. Saya dengar nasihatnya. Saya sangat sayangkannya," ujar Toledano.

Aghion mencipta jenama Chloé pada tahun 1952, sekaligus membantu menaikkan industri fesyen Perancis selepas perang. Rekaannya yang lebih feminim membuatkan jenama ini mendapat perhatian ramai.