5 Aktres ini bakal menyerlah di Malaysia

5 Aktres ini bakal menyerlah di Malaysia

5 Aktres tempatan bakal menyerlah

Sejak kebelakangan ini ramai bakat-bakat baru muncul sebagai pelakon yang menghiasi drama-drama di kaca televisyen tempatan.

Potensi lakonan mereka boleh dilihat dengan lebih jelas melalui drama yang ditayangkan dan sekaligus layak diangkat sebagai antara pelakon yang bakal menyerlah dan mewarnai industri hiburan tanah air.

Walaupun pengalaman berlakon mereka tidak sehebat aktres senior yang lain, namun sokongan padu peminat dan media harus memainkan peranan dalam mempromosikan muka-muka baru ini.

Jom kita lihat di antara aktres yang berpotensi untuk menyerlah di arena lakonan karya tempatan.


Zara Zya

Pemilik nama penuh Zainurul Razia Mohd Zainuddin ini dilahirkan pada 22 Oktober 1985 dan berasal dari Lenggong, Perak. Bintang drama bersiri hasil adaptasi novel "Love You Mr. Arrogant" ini mendapat pendidikan dalam bidang teater di Akademi Seni Warisan Negara (Aswara).

Aktres kecil molek ini mula dikenali ramai apabila lakonan sulungnya sebagai heroin dalam drama siaran TV3 itu menjadi perhatian umum.

Tidak dapat disangkal lagi lakonan hebat pelakon wanita berusia 28 tahun ini ternyata diiktiraf apabila berjaya menggondol beberapa anugerah selepas drama tersebut ditayangkan dan di antara trofi miliknya adalah Bintang TV Meletop di Anugerah Meletop Era dan Pelakon Baru Wanita di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013.


Ayda Jebat

Siapa sangka kini tuah aktres drama popular "Rindu Awak 200%" ini nampaknya lebih menyerlah berbanding ketika menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia musim kesembilan dahulu.

Bekas pelajar Universiti Teknologi Mara ini sebenarnya boleh menyanyi dengan baik dan mahir dalam bermain piano.

Kakak kepada Fina AF9 ini juga pernah melibatkan diri dalam drama seperti "Anugerah Terindah","Aku Ada Wali","Cinta Antara Kita", "Mira Sofea" dan banyak lagi.


Amyra Rosli 


Bernama Nur Amira Izzati Rosli, aktres kelahiran Kuala Lumpur yang kini baru sahaja berusia 22 tahun ini juga layak dikatakan sebagai pelakon yang berbakat besar. Ternyata memiliki paras rupa yang cantik menjadi bonus dan tarikan utama selain bakat lakonannya yang menjadi taruhan.

Antara drama yang pernah menampilkan Amyra sebagai barisan pelakon adalah "Amyra", "Warkah Cinta", "Jodoh", "Chef Jelita", "Cinta Pandang Kedua" dan banyak lagi.

Terbaru, sebagai selebriti Amyra tidak lari dari terhimpit dek kontroversi apabila dia dan kekasihnya aktor Dazrin Kamarudin membatalkan majlis perkahwinan mereka baru-baru ini.



Raja Ilya

Ternyata bakat aktres yang selalu memegang watak antagonis ini mulai menjadi tumpuan apabila berjaya melakokan watak jahat dengan berkesan sehingga dibenci oleh penonton yang melihat drama lakonannya.

Pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan dari Institut Teknologi Perak yang berasal dari Ipoh ini sememangnya berbakat besar kerana boleh berlakon dalam karya pelbagai bahasa seperti drama Tamil dan Inggeris.

Antara drama yang pernah dilakonkan olehnya adalah "Malam Tujuh Likur", "Penghujung Rindu", "Tup Periyum Pulli" dan "Be Brave 2". Lakonan mantap Ilya boleh dilihat menerusi drama berantai terbau berjudul "Cinta Ibadah" bermula 8 September nanti.


Aisyah Ilias

Pelakon kacukan Melayu, Cina, India dan Arab ini sememangnya persis seorang model kerana mempunyai wajah jelita dan bentuk badan yang tinggi menawan.

Walaupun pernah dilabel sebagai pelakon kaku pada awal kemunculannya, namun kini Aisyah mampu menarik nafas lega apabila bakatnya mula menjadi perhatian penggiat seni tempatan apabila diberi kepercayaan muncul dalam filem "Paku","Usin UFO" dan "Pilot Café".

Bekas finalis Dewi Remaja 2005 yang kini berusia 27 tahun ini dilihat menyerlah apabila terlibat dalam drama "Ameera" dan "Love You Mr. Arrogant". Kini bakat Aisyah dilihat semakin ke hadapan apabila diberi kepercayaan memegang watak utama berganding bersama aktor Fattah Amin dalam telenovela "Cinta Ibadah" .