Kenali pelakon baru kelahiran Brunei Darussalam, Nina Iskandar
Sunday, January 19, 2014
Admin
Demi mengejar cita-cita untuk mengembangkan bakat seninya ke tahap lebih jauh, pelakon baru kelahiran Brunei Darussalam, Nina Iskandar sanggup meninggalkan tanah air tercinta untuk berhijrah ke Malaysia.
Sekalipun karier lakonannya di Brunei semakin mantap, namun Nina atau nama sebenarnya, Nur Akmalina Iskandar tetap nekad membuat keputusan untuk mencuba nasib membina namanya di negara ini.
Bernaung sebagai bakat baru di bawah MIG Talent, Nina berkata, dia menyimpan hasrat untuk mengembangkan karier lakonannya di Malaysia selepas terbabit menjayakan drama Erna Syuraya terbitan bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Radio Televisyen Brunei (RTB), tahun lalu.
Katanya, pengalaman seketika dikumpul ketika berlakon bersama Tasha Shilla dan Shakila Khoriri yang turut membintangi drama itu membuatkan Nina berasa sangat selesa.
“Saya seronok bekerjasama dengan Tasha dan Shakila ketika itu kerana mereka berdua sangat profesional. Bahkan, tenaga kerja belakang tabir dari Malaysia juga, semuanya ramah, baik hati dan suka membantu.
“Jadi, saya fikir alangkah seronoknya jika mendapat peluang untuk mengembangkan kerjaya lakonan saya ke negara ini. Barangkali sudah rezeki, saya kenal dengan Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth Pictures (MIG), David Teo menerusi laman Instagram,” katanya.
Nina berkata, David kemudian memintanya datang ke Kuala Lumpur untuk menjalani uji bakat dengan MIG.
“Berasakan ia satu peluang keemasan yang tak harus dilepaskan, saya terus bersetuju,” katanya.
Menurut Nina, bagaimanapun pada hari dia sepatutnya berlepas ke negara ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di Bandar Seri Begawan, semua tiket kapal terbang sudah habis dijual.
“Disebabkan terlalu ingin menghadiri uji bakat itu, saya meminta ibu dan bapa menghantar saya ke Lapangan Terbang Miri di Sarawak untuk mendapatkan tiket penerbangan ke Kuala Lumpur.
“Berkat restu keluarga, terutama ibu dan bapa, akhirnya saya dapat juga tiket penerbangan ke Kuala Lumpur untuk dua orang dan saya ditemani ibu,” katanya.
Baru berusia 22 tahun, Nina yang sememangnya lahir daripada keluarga seni berkata, dia sebenarnya mula berlakon di Brunei sejak berusia 16 tahun.
Kini, di bawah pengurusan MIG Talent, Nina gembira kerana pilihan dibuatnya tepat berikutan baru saja mengikat kontrak, dia sudah diberi peluang membintangi tiga filem iaitu Perempuan Muka Surat Tujuh, Lu, Gua..Bro! dan Sniper.
Berbicara pula mengenai sambutan Aidilfitri di Brunei, Nina berkata ia diraikan dalam suasana sederhana, tetapi meriah. Malah, ujarnya apa yang penting, amalan kunjung-mengunjung mengeratkan silaturahim.
No comments: