Remy Ishak dikatakan tengah Jiwa Kacau
Friday, January 24, 2014
Admin
Pelakon Remy Ishak mengakui jiwanya kacau sepanjang berlakon dalam drama bersiri terbaru, ‘Jiwa’ yang bakal disiarkan di slot Aksi TV3 bermula 5 Februari depan. Remy ketika ditemui pada sidang media drama tersebut di Sri Pentas 3, Bandar Utama, baru-baru ini memberitahu watak Iskandar yang diberikan oleh pengarah Kabir Bhatia sangat mencabar dirinya, baik dari segi mental mahupun fizikal.
“Drama ini banyak mengacau jiwa saya. Saya diberi tanggungjawab untuk membawa watak Iskandar, seorang yang panas baran dan kasar di mana ia bukan ‘makanan’ saya. Orang kenal saya dengan cerita cinta jadi saya perlu lebih fokus untuk drama ini.
Saya ‘all-out’ sepanjang dua bulan penggambaran drama ini di mana saya pergi ke gimnasium dan jaga pemakanan saya. Tidak dinafikan saya menghabiskan banyak tenaga untuk drama ini dan sehingga kini saya masih terasa penat kerana belum cukup rehat lagi,” ujar Remy yang mengambil keputusan untuk berehat buat seketika.
“Projek akan datang sudah ada namun saya ingin berehat dahulu. Saya juga akan lebih selektif selepas ini kerana saya perlu pilih watak yang selari dengan kematangan saya dalam industri ini. Satu tahap itu kita akan tahu di mana kemampuan kita dalam sesebuah cerita dan saya inginkan sesuatu yang mencabar dan lain dari lain yang pernah saya buat sebelum ini,” jelasnya sambil memberitahu teruja dapat berlakon bersama dengan Faizal Hussein dalam drama ‘Jiwa’.
“Saya rasa bertuah dan bersyukur kerana dapat bergandingan dengan dia. Seronok dapat berlakon dengan dia dan saya menggunakan sebaik mungkin peluang ini untuk buat yang terbaik. Saya tak mahu ketinggalan dan mahu berjalan seiringan dengan dia,” ujar Remy mengakhiri perbualan.
Jangan ketinggalan untuk menonton drama ‘Jiwa’ yang bakal disiarkan bermula 5 Februari depan, pada setiap Rabu, jam 9.00 malam di slot Aksi TV3. Selain Remy Ishak, drama terbitan Filmscape Sdn Bhd ini turut menampilkan Faizal Hussein, Kamal Adli, Siti Elizad, Liza Shadan, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Cico Harahap dan Wan Raja.
No comments: