Drama Gerak Khas berwajah baru kembali lagi
Thursday, January 23, 2014
Admin
BARISAN pelakon Gerak Khas musim baru. |
Ketika penonton tempatan dilihat lebih tertumpu kepada drama adaptasi novel namun ia tidak sedikit pun menggentarkan Skop Productions Sdn Bhd (Skop) untuk meneruskan tradisinya dalam menerbitkan drama kepolisan.
Tetap yakin dengan sokongan dan minat penonton, Pengarah Urusannya, Datuk Yusof Haslam berkata, sepanjang 12 tahun drama Gerak Khas diterbitkan oleh produksinya, rating penonton dicatatkan amat baik dan tidak menghampakan.
“Jumlah penonton yang dicatat masih boleh dibanggakan iaitu sekitar 1.2 juta orang yang menonton. Cuma, selepas agak lama disiarkan, perlu juga direhatkan untuk sementara.
“Jadi, selepas dua tahun ‘berehat’, maka pada tahun ini dan mulai 14 Februari nanti, penonton dan peminat setia drama Gerak Khas akan menyaksikan semula musim baru yang lebih padat dan mantap,” katanya.
Menurut Yusof, sebanyak 13 episod akan menemui penonton bagi musim baru ini yang diterajui barisan pelakon lama dan baru tanah air. Bahkan, katanya beliau lebih bersikap terbuka untuk mengetengahkan bakat baru.
“Sekalipun masih mengekalkan pelakon seperti Norman Hakim dengan watak Haris, C Kumaresan (Kumar) dan Salina Saibi (Salina), pembabitan bakat baru tetap wajar diketengahkan sebagai salah satu kelainan.
“Wajah baru dan masih segar dalam industri yang mendapat peluang menerajui drama Gerak Khas musim baru ini ialah Afiq Muiz sebagai Rosli, Nizen Ayob (Nizam), Shanorbiah Shamsir Alam (Tisya), Zabri Ibrahim (Zaidi) dan Mas Hidzir Khan (Kamal).
“Semua pelakon lama dan baru ini berpaksikan pangkat masing-masing, termasuk juga saya yang masih lagi kekal dengan watak Datuk Helmi sebagai ketua polis berpangkat tinggi dalam pasukan Gerak Khas,” katanya.
Menurut Yusof, pada usia yang akan mencecah 60 tahun pada April ini, beliau mengakui drama Gerak Khas atau karya bertemakan polis pernah dihasilkan Skop sememangnya amat dekat di hatinya dan begitu menyentuh perasaan.
Ujarnya, Allahyarham bapa beliau yang juga seorang anggota polis pada zaman British membuatkan Yusof amat memahami betapa besarnya pengorbanan menjadi perwira negara. Jadi, beliau amat menghargai pengorbanan itu.
“Saya pun sebenarnya dulu memang ada menyimpan cita-cita menjadi anggota polis. Namun, impian saya tidak menjadi kenyataan kerana permohonan ditolak berikutan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya tak memenuhi syarat ditetapkan.
“Tak dinafikan, pada awalnya saya berasa sangat kecewa. Namun, saya yakin perlu bangkit kerana mungkin Tuhan lebih tahu apa yang terbaik buat saya. Nampaknya, inilah buktinya apabila saya kini menerbitkan drama polis.
“Bahkan, saya juga mendapat peluang melakonkan watak ‘Ketua Polis’ lagi. Jadi, saya sangat bersyukur dan apa yang pasti Skop akan terus menerbitkan drama polis sehingga ke generasi anak-anak saya,” katanya.
Yusof berkata, apatah lagi dengan kerjasama baik yang diterima daripada pihak polis membuatkan segala usaha sudah dilakukan selama ini wajar diteruskan. Malah, drama Gerak Khas ini juga sarat dengan pelbagai mesej dan pengajaran.
Akui beliau, rentetan episod dihasilkan pada musim baru ini lebih menyuntik
nafas baru dan terkini. Antaranya, termasuklah Operasi Cantas pendatang asing yang dilancarkan baru-baru ini. Begitu juga dengan Operasi Lahad Datu, Sabah.
Sehubungan itu, pelancaran drama Gerak Khas musim baru yang berlangsung di Bukit Aman, kelmarin disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin.
Mengharap sentuhan Syamsul dalam Gerak Khas
Sekali pun kini, pengarah filem berbakat besar tanah air Syamsul Yusof mengambil langkah ‘menyepi diri’ daripada industri seni, namun sentuhan Syamsul diyakini tetap berbisa.
Justeru, alangkah bagusnya jika Syamsul turut menyumbang keringatnya mengarahkan drama Gerak Khas.
Bertanyakan kepada Yusof mengenai pembabitan Syamsul dalam mengarahkan Gerak Khas, beliau berkata, jauh di sudut hati memang ada menyimpan harapan untuk anaknya itu turut sama memberikan sentuhan dalam pengarahan.
Apatah lagi, dua orang adik-beradiknya iaitu Faizal dan Syafiq dilihat berganding bahu bersama Yusof mengarahkan Gerak Khas bagi musim baru ini.
“Mengenai Syamsul, saya memang mengharapkan dia dapat bersama-sama saya, Faizal dan Syafiq untuk mengarahkan drama Gerak Khas ini. Namun, saya tidak akan memaksanya.
“Sebagai bapa, saya menyokong apa saja keputusan anak saya. Cuma, Syamsul pada kaca mata saya adalah seorang anak yang berbakat besar dalam bidang lakonan mahu pun pengarahan.
“Apapun, macam saya katakan memang saya takkan sesekali memaksa dia. Bahkan, semuanya bergantung pada keputusan Syamsul sendiri,” katanya.
Enggan mengulas lanjut, Yusof berkata beliau mula terbabit dalam penerbitan drama polis pada usia 30 tahun, justeru sesungguhnya beliau mengharapkan pada usia 30 tahun juga, anaknya dapat meneruskan legasi empayar penerbitan ditubuhkan itu.
No comments: