Antara Penyanyi wanita Indonesia popular di Malaysia
Sunday, September 21, 2014
Admin
Lambakan karya penyanyi Indonesia yang menjengah ke persada muzik di Malaysia sememangnya dapat diterima oleh para peminat muzik tempatan yang dahagakan lagu-lagu berkualiti yang sedap didengari.
Pernah suatu ketika carta muzik di radio kita dibanjiri dengan lagu-lagu mereka baik penyanyi lelaki, penyanyi wanita dan juga berkumpulan.Ada yang berpendapat susunan muzik dan lirik lagu dari negara seberang ini lebih mempunyai 'jiwa' berbanding karya tempatan yang dicipta seperti melepaskan batuk di tangga dan 'kosong'.
Kemunculan penyanyi wanita Indonesia seperti Bunga Cinta Lestari, Acha Septriasa, Agnes Monica dan juga Shae berjaya mencuri hati masyarakat dengan lagu popular mereka.
Namun, terdapat beberapa nama yang masih kekal popular dan lagu-lagu hebat mereka masih terngiang-ngiang hingga ke hari ini.
Siapakah penyanyi wanita Indonesia ini agaknya? Mereka yang dimaksudkan adalah:
Kris Dayanti
Penyanyi kelahiran Batu, Jawa Timur, Indonesia ini sememangnya sangat popular dan terkenal di arena muzik Malaysia semenjak tahun 90an lagi.
Lebih mesra di sapa dengan panggilan KD, lagu "Menghitung Hari" menjadi titik permulaan kerjaya KD berkembang terus di persada muzik tempatan apabila lagu tersebut menjadi popular di Malaysia dan terus menaikkan nama KD di sini.
Selepas kejayaan tersebut, KD mula menjalinkan kolaborasi bersama penyanyi dan komposer tempatan iaitu Ajai menerusi lagu "Jangan Biarkan" dan "Hati Ini Telah Dilukai".
Diundang memeriahkan lagi majlis Anugerah Industri Muzik 1999, KD turut memperoleh penghargaan menerusi trofi Album Indonesia Terbaik.
Antara lagu-lagu beliau yang popular di sini adalah "Pilihlah Aku", "Cobalah Untuk Setia", "Mencintaimu", "Makin Aku Cinta", "Rembulan" dan banyak lagi.
Bintang yang dilahirkan dari rancangan nyanyian Asia Bagus ini turut berkesempatan turun ke Malaysia baru-baru ini bagi mempromosikan album terbarunya berjudul Persembahan Ratu Cinta dengan menampilkan single terbaru iaitu "Bertubi-Tubi".
Melly Goeslow
Pemilik nama sebenar Mellyana Goeslaw Head atau lebih dikenali dengan nama Melly Goeslaw merupakan seorang komposer dan penyanyi Indonesia yang tidak asing lagi di Malaysia.
Namanya mula menjadi sebutan di arena muzik tempatan apabila nyanyiannya bersama Ari Lasso dalam lagu berjudul "Jika" menembusi kedudukan teratas di dalam carta muzik radio tempatan.
Melly mula mengorak kejayaan yang lebih besar apabila menerbitkan lagu-lagu tema filem "Ada Apa Dengan Cinta" dan antara lagu yang mendapat sambutan luar biasa adalah "Ku Bahagia", "Bimbang" dan "Ada Apa Dengan Cinta".
Seterusnya diikuti pula dengan lagu hits seperti "Pujaanku", "Tak Tahan Lagi" dan "Lelaki Idaman" menerusi soundtrack filem "Eiffel… I'm In Love".
Kini, pelantun lagu "Ketika Cinta Bertasbih" ini sudah pun berhijrah dengan berhijab sepenuhnya, namun masih tetap meneruskan kerjayanya sebagai seorang penyanyi dan komposer.
Baru-baru ini Melly telah pun melancarkan single terbarunya berjudul Cinta Dan Ibadah yang dihasilkan khas untuk telenovela tempatan siaran Astro Prima berjudul "Cinta Ibadah".
Rossa
Menjadi satu-satunya selebriti wanita Indonesia yang dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Datuk, tidak menjadi penghalang kepada wanita ini untuk terus bergelar penyanyi walaupun pernah dihimpit kontroversi berkenaan gelaran tersebut.
Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handayani dilahirkan di Sumedang pada 9 Oktober 1978.
Penyanyi yang kini berusia 35 tahun ini mula dikenali oleh masyarakat tempatan menerusi nyanyian merdunya di dalam lagu berjudul "Tegar" pada tahun 1999 dan terus dikenali melalui lagu-lagu hits seperti "Aku Bukan Untukmu", "Pudar", "Atas Nama Cinta", "Ayat-Ayat Cinta", "Terlanjur Cinta" dan banyak lagi.
Selain berbakat di dalam bidang nyanyian, Rossa juga pernah mencuba nasib di dalam bidang lakonan menerusi dua buah sinetron berjudul "Dua Sisi Mata Udang" dan "Perisai Kasih".
Antara anugerah tempatan yang pernah diperolehi Rossa adalah Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara pada Anugerah Industri Muzik ke-15 dan 16.
Ruth Sahanaya
Walaupun sudah lama tidak mendengar perkhabaran diva Indonesia ini, namun lagu-lagu hits masih popular hingga ke hari ini.
Dendangan lagu berjudul "Kaulah Segalanya", "Bawalah Daku Pergi" dan "Keliru" sering kali menjadi pilihan peminat muzik tempatan.
Isteri kepada aktor ternama Indonesia Jeffrey Waworuntu ini pernah diberi penghormatan membuat persembahan di Live Music Concert di Kuala Lumpur sekitar tahun 90an dan turut diundang mengadakan persembahan di peringkat antarabangsa.
Antara album solo yang dipernah dihasilkan oleh Ruth adalah "Seputih Kasih", "Tak Ku Duga", "Kaulah Segalanya", "Kasih", "Bicara Cinta", "Jiwaku" dan banyak lagi.
Selain itu, Ruth juga pernah bergabung bersama Titi DJ dan Kris Dayanti bagi menjayakan konsert 3 Diva pada tahun 2006 di Jakarta, Surabaya, Bandung dan juga tidak ketinggalan di Kuala Lumpur.
No comments: