Hanis Zalikha tidak suka bersikap berpura-pura
Wednesday, September 17, 2014
Admin
Pengacara dan pelakon Hanis Zalikha mengakui dia tidak pandai bermuka-muka atau berpura-pura semenjak berkecimpung dalam industri seni sejak tiga tahun yang lalu, sebaliknya lebih gemar bersikap terbuka dan juga telus.
Dipetik daripada laporan Utusan, Hanis yang bakal menginjak usia 24 tahun pada 9 Oktober ini memberitahu, dia juga tidak gemar melihat segelintir artis yang menunjukkan kepalsuan kepada peminat seperti gambar gaya hidup mewah walaupun adakalanya ia bertentangan dengan kehidupan realiti mereka.Walaupun tidak ramai yang berbuat demikian, ia secara tidak langsung menyebabkan golongan artis secara keseluruhan dilabel sebagai hipokrit.
"Pada dunia tanpa sempadan ini boleh dikatakan setiap artis berkongsi kehidupan peribadi mereka menerusi laman sosial masing-masing. Perkongsian itu ada baik dan buruknya. Dalam kes ini saya pilih untuk menjadi diri sendiri," ujarnya.
Hanis mula dikenali kerana sering berkongsi pemikirannya menerusi blog miliknya, www.inibelogsaya.blogspot.com sejak enam tahun lalu.
Menyedari populariti bersifat sementara, Hanis juga memberitahu dia banyak bermuhasabah dan berjaga-jaga agar tidak kecundang.
Hanis turut menegaskan bahawa setiap artis perlu bijak mengawal apa yang dikongsikan mereka kepada umum kerana ia mampu mengganggu perjalanan karier mereka, malah boleh memalukan artis itu sendiri kerana kadang-kala sekeping gambar mampu menimbulkan pelbagai persepsi peminat.
Contohnya baru-baru ini Hanis telah memuat naik gambarnya dengan pelakon Hairul Azreen yang dikatakan kekasihnya berlatarbelakangkan pemandangan laut dan ada pihak yang mendakwa mereka bercuti berdua.
Menganggap ia tuduhan tidak masuk akal, Hanis bagaimanapun bertindak memadamkan gambar tersebut dan tidak pernah mengambil hati dengan persepsi negatif itu, malah menjadikan ia sebagai satu iktibar.
Hanis juga percaya kepada kebebasan artis turut ada hadnya.
"Kalau dulu pada zaman Allahyarham Sudirman Haji Arshad memang wujud kebebasan dalam kalangan artis sebab pada waktu itu tiada internet. Tetapi zaman sekarang sudah lain.
"Pada hari ini wujud budaya mengorek rahsia peribadi artis. Itu yang tiba-tiba boleh keluar pelbagai cerita silam. Paling kasihan kalau yang dijaja itu cerita buruk," akhirinya.
[Kredit foto: Instagram Hanis Zalikha]
No comments: