Melly Goeslaw mahu terus berkarya walaupun berhijab
Sunday, September 21, 2014
Admin
Dendangan lagu berjudul "Ada Apa Dengan Cinta" dan "Ketika Cinta Bertasbih" pastinya pernah menjadi siulan ramai ketika lagu tema filem ini mula menjadi popular di kalangan warga tempatan.
Itulah magik yang tercipta apabila sesuatu naskah itu datangnya dari ilham seorang wanita yang berbakat besar dalam penghasilkan lagu-lagu di arena muzik nusantara.Nama Melly Goeslow tidak perlu diperkenalkan lagi di pentas muzik Malaysia kerana lagu-lagunya seringkali menjadi fenomena di sini.
Kini dirinya muncul kembali dengan naskah terbaru "Cinta Dan Ibadah" eksklusif dihasilkan untuk dijadikan lagu tema telenovela baru siaran Astro Prima berjudul "Cinta Ibadah".
Berpeluang menemubual komposer hebat ini, TUPAI sempat menanyakan beberapa soalan mengenai perkembangan terbarunya.
Melly lebih tenang selepas berhijab. |
Jom kita ikuti temubual bersama penyanyi yang popular dengan lagu "Jika" ini!
Assalamualaikum & apa khabar Melly?
Waalaikumussalam, saya khabar baik sahaja dan senang sekali bertemu kalian di sini.
Kedatangan Melly ke Malaysia kali ini tampak berbeza sekali penampilannya dengan sebelum ini, dan kini sudah tampil berhijab, boleh ceritakan sedikit mengenai kisah di sebalik penghijrahan Melly?
Ya, Alhamdulillah saya kini sudah tampil berhijab walau ke mana sahaja saya berada. Niat untuk menutup aurat sepenuhnya dengan berhijab sudah lama berada di fikiran saya iaitu semenjak tiga tahun yang lalu selepas pulang dari menunaikan ibadah umrah.
Namun, ketika itu saya masih bingung dan risau dengan penerimaan keluarga dan peminat, adakah mereka boleh menerima saya jika saya berhijab?
Ternyata Allah itu Maha Berkuasa, setelah pulang dari ibadah umrah kira-kira tiga bulan yang lalu, saya berasa malu dengan diri saya dan membuat keputusan untuk terus berhijab dan berharap agar sentiasa istiqamah dengan penghijrahan ini.
Adakah dengan perubahan imej Melly ini sedikit sebanyak bakal memberi impak yang besar dalam penghasilan karya selepas ini?
Penghasilan karya dan kerjaya nyanyian itu masih kekal sama dan tiada yang berubah. Cumanya saya akan lebih berhati-hati dalam menghasilkan karya selepas ini. Umum mengetahui lagu-lagu saya sangat terkenal dengan irama yang rancak dan lirik lagu yang agak 'gila-gila'.
Oleh itu, dengan perubahan imej saya kini haruslah sejajar dengan penghasilan karya saya di mana saya akan lebih teliti dalam penggunaan bahasa yang lebih baik dan masih boleh diterima oleh peminat saya.
Seperti yang kita tahu di Indonesia lagu-lagu bersifat kerohanian sangat popular seperti yang dihasilkan oleh Opick, adakah Melly bakal mengikuti jejak langkah beliau dengan menghasilkan lagu sedemikian rupa?
Buat masa sekarang saya masih tidak berani lagi untuk menghasilkan lagu-lagu berbentuk kerohanian seperti yang dihasilkan oleh Opick kerana masih tidak berani untuk menggunakan istilah-istilah Islam yang berat kerana masih belum arif lagi.
Saya khuatir, takut-takut ada yang tersalah kerana ilmu yang ada belum cukup mantap. Namun, Insya Allah saya tidak menolak kemungkinan tersebut di masa akan datang. Mungkin suatu hari nanti saya akan ikuti jejak langkah beliau.
Apabila Melly membuat keputusan untuk berhijab, apa perasaan anda dan siapa di antara individu yang sangat gembira dengan perubahan diri anda?
Perasaan saya ternyata lebih tenang dengan penghijrahan ini kerana impian yang diidamkan tiga tahun lalu sudah tercapai.
Sudah tentu suami dan anak-anak sangat gembira dengan perubahan ini, dan teman yang paling teruja dengan perhijrahan ini adalah Rossa.
Rossa sering membimbing saya ke arah keagamaan dan dirinya ternyata ingin menyusul jejak langkah saya, mudah-mudahan.
Teman-teman lain ada juga yang berasa kekok dengan perubahan imej saya, namun saya memaklumkan pada mereka agar jangan bimbang kerana saya masih Melly yang mereka kenali dahulu.
Kembalinya anda ke Malaysia dengan buah tangan terbaru berjudul "Cinta Dan Ibadah", bagaimana Melly bersetuju untuk bekerjasama menghasilkan lagu tema buat telenovela ini?
Saya bersetuju untuk menghasilkan karya ini kerana tertarik dengan sinopsis cerita ini.
Ada kelainan yang ditonjolkan dalam drama ini di mana terdapatnya kekuatan luar biasa dari seorang wanita yang terpaksa menempuhi kesulitan dalam hidupnya dan harus terus bersabar dan kuat demi mendapatkan kebahagian yang dicari.
Dari situ saya dapat idea untuk menghasilkan lagu ini, dan saya yakin lagu ini mampu memikat hati peminat di Malaysia dan sekaligus dapat mengubat kerinduan mereka yang merindui karya terbaru saya.
Apa projek terbaru Melly selepas ini, ada perancangan untuk hasilkan album terbaru selepas ini?
Ya, sekarang ini saya sedang dalam perbincangan dalam menghasilkan album terbaru di mana pihak kami sedang mencari format yang sesuai dengan imej saya dan 'trend' muzik sekarang.
Muzik yang terlalu rancak yang memerlukan saya menari kemungkinan besar perlu saya tinggalkan. Saya percaya muzik itu kaya dan tiada batasannya.
Menjadi kelaziman apabila selebriti itu sudah berhijab, pastinya bisnes hijab menyusul pula, adakah Melly mempunyai rancangan sebegitu juga?
Sebenarnya semenjak empat tahun yang lalu saya sudah mempunyai bisnes kaftan rekaan saya sendiri yang diberi nama 'Ale Abek' sempena nama anak saya.
Selalu yang datang membeli adalah teman-teman rapat saya seperti Kris Dayanti dan lain-lain lagi.
Jadinya untuk bisnes hijab pula masih belum mempunyai perancangan lagi buat masa ini kerana mahu fokus pada bisnes kaftan ini.
Sebelum Melly berhijab, anda sangat terkenal dengan imej ranggi dan sedikit pelik kerana gemar menukar-nukar warna dan gaya rambut anda, bagaimana pula setelah berhijab?
Kini apabila berhijab, saya gemar bereksperimen dengan stail hijab yang digayakan. Bagi saya tidak salah untuk berfesyen walaupun sudah berhijab, selagi lehernya masih ditutup rapi, tiada aurat yang tidak sepatutnya kelihatan, insyaAllah sudah memadai.
Apa yang penting, selagi tidak melanggar hukum syariah, selagi itu masih boleh lagi berfesyen.
Sekian sahaja temubual kita kali ini, terima kasih kerana sudi meluang masa bersama kami.
Terima kasih semuanya yang berada di Malaysia kerana masih menyokong kerjaya saya.
No comments: