Pasangan Aeril Zafrel, Wawa Zainal didenda Mahkamah Syariah bernikah tanpa kebenaran
Thursday, September 25, 2014
Admin
Pasangan pelakon suami isteri, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal telah didapati bersalah dan didenda atas kesalahan bernikah tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Rujuk dan Cerai menurut Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor.
Dipetik daripada laporan mStar, keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Syarie, Saharuddin Selamat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam pada Khamis.Pasangan suami isteri ini diwakili Peguam Syarie, Mohd Aizan Md Idrus dan pertuduhan dilakukan oleh Pendakwa Syarie, Khafizah Ahmat Khairi.
Aeril atau nama sebenarnya Suhairi Sunari, 26, dikehendaki membayar denda RM1,000 atau penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Manakala Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 22, didapati bersalah atas kesalahan bersubahan dan dihukum mengikut Seksyen 134 (subahat) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 dan dikenakan denda RM800 atau hukuman penjara sekiranya gagal membayar denda.
Sementara itu bapa angkat Aeril, Wahap Raub turut dituduh bersubahan dan dikenakan denda sama seperti Wawa. Manakala dua lagi tertuduh iaitu bapa Wawa, Zainal Abidin Sulong yang bertindak sebagai wali dan Salim Asari tidak hadir kerana berada di Sabah.
Pasangan ini telah melakukan pernikahan tanpa kebenaran pada 25 Februari 2012 di sebuah rumah beralamat No. 2, Lorong 7A, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, kira-kira jam 8 malam.
Aeril dan Wawa bernikah buat kali kedua dengan kebenaran pada 4 Februari 2013 dan pasangan ini telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Ahmad Fakharuddin Attar yang kini berusia 15 bulan.
[Kredit foto: Oh Bulan!]
No comments: